Saturday, April 27, 2013

MENIRU MENIRU DAN MENIRU !

ASSALAMUALAIKUM



MENIRU BUKAN DARIPADA KALANGAN KITA

Sekadar untuk penelitian bersama. Masih ada dikalangan segelintir pelajar-pelajar Islam yang menyatakan : 

"Boleh je kita meniru dalam peperiksaan, kerana sistem peperiksaan adalah ciptaan kaum Barat, apatah lagi soalan susah sangat, so.. tiada masalah kalau meniru sekalipun, apa yang kita dapat pun lepas ni hanyalah sijil yang berunsurkan keduniaan, apa yang penting adalah ilmu di dada, bukan sijil yang menjadi target dan tujuan utama"

Syeikh 'Atiah Saqar dalam fatwanya ada menyatakan, telah disepakati oleh jumhur Ulama’bahawa jenis perbuatan meniru,menipu,  memperdaya, memalsu, memanipulasi, mengkhianati adalah perbuatan HARAM disisi Islam. Ini adalah hukum secara umum atas perbuatan tersebut dan tergolong mereka dalam perbuatan dosa kerana ianya bukan daripada pengamalan dan pengajaran Islam.
Perihal tersebut berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. :

"من غشنا فليس منا " 

Maksudnya : “Sesiapa yang meniru daripada kami (kalangan umat Muhammad) maka mereka itu bukan daripada kami”. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Maka tidak boleh diterima hujah bagi mereka yang menyatakan : 

" صعوبة الإمتحان مبرر الغش "

(Susahnya soalan peperiksaan membenarkan alasan untuk meniru).

Ianya bertentangan dengan konsep Islam kerana islam mengajar umatnya untuk sentiasa berusaha dan berikhtiar dalam segenap perkara untuk mencari kejayaan dunia dan akhirat.

Firman Allah : 

 " إنا مكنا له في الأرض وآتيناه من كل شيء سببا فأتبع سببا "


“Sesungguhnya Kami telah memberikannya kedudukan (kehidupan) dibumi, oleh itu kami telah menyediakan jalan (sebab musabbab untuk mencapai) setiap sesuatu, maka tempuhi ia jalan tersebut (dengan usaha dan ikhtiar makhluk)”. (Surah al-Kahfi : 84-85)


TUJUAN TIDAK MENGHALALKAN CARA

Istilah dan kaedah " الغاية تبرر الوسيلة " (Tujuan menghalalkan cara) adalah kaedah fasid(tidak boleh diterima). Bahkan itu adalah antara modus operandi jahat yang dicipta oleh"The Elders of Zions" (melalui Protokol Zionis yang Pertama) sebagaimana penaklukan bumi Palestin walaupun dengan menyembelih banyak nyawa, merobohkan rumah kediaman awam, membinasakan tanam-tanaman sesuka hati sejak zaman berzaman. Adapun wasilah(jalan) kepada kepada sesuatu tujuan itu hendaklah mengikut syariat dan manual yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Perbuatan meniru dalam peperiksaan walau daripada mana cara sekalipun dianggap sebagai satu kerosakan yang dilakukan kepada diri sendiri kerana terabainya amanah yang perlu ditunai sebaiknya. Setiap individu pelajar itu adalah amanah kepada keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan Islam itu sendiri.

Firman Allah : 

إنا عرضنا الأمانة على السماوات والأرض والجبال فأبين أن يحملنها
 وأشفقن منها وحملها الإنسان إنه كان ظلوما جهولا "

“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu kerana takut tidak mampu melaksanakannya, lalu dipikullah amanah itu oleh manusia, sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan jahil” . (Surah al-Ahzab : 72)

PEPERIKSAAN SEBAGAI PROSES TAPISAN

Alasan dan tujuan diperkenalkan peperiksaan dalam system pengajian adalah sebagai tapisan untuk menilai potensi dan kesungguhan pelajar dalam proses menuntut ilmu. Lebih-lebih lagi untuk melihat siapakah mereka yang benar-benar bersungguh mencapai kejayaan disisi Allah.

Firman Allah : 

" أم نجعل الذين آمنوا وعملوا الصالحات كالمفسدين في الأرض
 أم نجعل المتقين كالفجار "
“Patutkah Kami memperlakukan orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan sama dengan orang yang melakukan kerosakan dimuka bumi? Atau patutkah Kami menganggap mereka yang bertaqwa sama dengan mereka yang jahat?” (Surah Sad : 28)

Firman Allah : 

" قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون "

“Katakanlah (Muhammad) Adakah sama mereka yang berilmu dengan mereka yang tidak berilmu?” (Surah al-Zumar : 9)


ILMU ADALAH CAHAYA ALLAH

Sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya daripada Allah, maka cahaya tidak boleh memberi kesan kepada hati-hati mereka yang kotor dengan maksiat kepada-Nya sebagaimana ungkapan Syair yang masyhur daripada Imam Syafie :

“ Aku mengadu kepada Imam Waqie’ tentang buruknya hafalan aku..
Lalu beliau tunjukkan aku jalan untuk aku tinggalkan maksiat..
Maka beliau mengkhabarkan padaku bahawa Ilmu itu adalah cahaya daripada Allah..
Adapun cahaya Allah itu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada 
mereka yang lakukan maksiat ”

Maka sesiapa yang mencari cahaya Allah tersebut hendaklah menelusuri dengan cara yang betul dan penuh mujahadah (kesungguhan). Justeru itu, Allah akan memberikan ganjaran yang setimpal atas usaha yang ditunjukkan.

Firman Allah : 

" والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وإن الله لمع المحسنين "


“Mereka yang bersungguh-sungguh (bermujahadah mencari Redha Allah), Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami, sesungguhnya Allah bersama mereka yang berbuat kebaikan”. (Surah al-Ankabut : 69)

Berbahagialah bagi mereka yang bersungguh-sungguh dalam usaha mencapai kejayaan.

Ilmu mampu didalami sebagai intipati ajaran Islam dan sijil mampu digapai sebagai medium penyampaian dakwah kelak. 

Wallahu’alam



No comments:

Post a Comment