Tuesday, July 9, 2013

Amalan-amalan sewaktu ramadhan

ASSALAMUALAIKUM

Puasa Ramadan

Selama sebulan Ramadan, umat Islam akan berpuasa setiap hari, dari terbit fajar (subuh) sehinggalah terbenamnya matahari (maghrib). Selama berpuasa, mereka harus menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa sehingga tiba waktu berbuka. Syariat ini diturunkan pada 10 Syaaban tahun ke-2 Hijrah dan sejak itu, masyarakat Islam menyambut bulan Ramadan dengan seharian berpuasa.
Orang Islam disunatkan bersahur sebelum berpuasa . Sahur (makan sebelum fajar) membezakan puasa orang Islam dan puasa lain. Semasa berbuka puasa (iftar), disunatkan pula berbuka dengan makanan atau minuman manis serta tidak berlebih-lebihan. Disunatkan juga untuk menjamu orang lain berbuka puasa.

Solat Tarawih

Pada malam harinya, setelah solat Isyak, umat Islam melanjutkan ibadahnya dengan melaksanakan solat Tarawih, solat khusus yang hanya dilakukan pada bulan Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjama'ah di masjid-masjid. Di sesetengah tempat, sebelum pelaksanaan solat tarawih, diadakan ceramah singkat untuk menasihati para jama'ah.

Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah zakat yang dikeluarkan khusus pada bulan Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya Solat Sunat Hari Raya. Setiap individu muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat jenis ini .Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.3kg beras atau senilai dengannya (ijtihad).Bagi tahun berakhir 2007 Masihi/1428 Hijrah dan 2008 Masihi/1429 Hijrah di seluruh negeri Selangor Malaysia, kadar Zakat Fitrah semasa telah ditentukan sebanyak RM5.20 bersamaan 2.70kg beras mentah.

Aidil Fitri

Akhir bulan Ramadan dirayakan dengan sukacita oleh seluruh Muslim di dunia. Pada malam harinya (malam 1 Syawal), yang biasa disebut malam kemenangan, mereka akan mengumandangkan takbir bersama-sama. Esoknya tanggal 1 Syawal, yang dirayakan sebagai Hari Raya Aidil Fitri, semua Muslim baik lelaki mahupun perempuan digalakkan ke masjid untuk melakukan Solat Sunat Hari Raya. Solat dua raka'at ini akan diikuti khutbah mengenai Aidil Fitri.

No comments:

Post a Comment